Kerajaan PN tiada tempoh berbulan madu


 TIADA masa berbulan madu sebaliknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menumpukan kepada tanggungjawab bekerja membela rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu yang dilaksanakan kerajaan PN selepas diberikan amanah mentadbir negara sejak Mac lalu.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan sebaik saja kerajaan PN dibentuk enam bulan lalu terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam membela rakyat.

"Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baru. Tidak ada tempoh bulan madu untuk kita semua.

"Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, krisis getir yang menguji kerajaan PN kepada rakyat Malaysia ialah penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, krisis seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia serta di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, katanya, berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara berjaya mengharungi krisis itu dengan baik.

Muhyiddin berkata, sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, beliau tidak boleh membiarkan perkara krisis itu begitu sahaja dan disebabkan itu juga beliau terpanggil memberikan perlindungan ekonomi kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau segera meminta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencari sumber kewangan untuk negara.

"Saya tidak sampai hati untuk memberitahu kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mempunyai wang ketika mereka berada dalam kesusahan.

"Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, "Ya tuan, kita ada wang".

" Saya berkata, baiklah, kita akan menggunakan wang itu untuk meringankan beban rakyat.

"Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang semuanya bernilai RM295 bilion," katanya.

Katanya, ramai yang sudah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dan rakyat amat menghargainya.

"Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai (prestasi PN sebagai kerajaan). Orang yang bijak pandai tahu menilai.

"Amanah kepemimpinan ini adalah satu ujian buat saya. Prinsip pertama adalah prihatin kepada rakyat.

"Kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, jika keadaan memerlukan Insha-Allah ada pakej rangsangan tambahan mengikut kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau menegaskan integriti anggota Kabinet dalam kerajaan adalah juga keutamaan pentadbiran PN.