Rayu diberi peluang berlakon


"TAK kisah apa saja watak bersesuaian dengan usia, saya sanggup terima asalkan ada pendapatan," kata Shahrom Yeop, 62.

Bekas pelakon pembantu filem Ali Setan itu antara rakyat Malaysia yang kehilangan pendapatan selepas terjejas akibat Covid-19.

Shahrom memegang watak sebagai Rashid, rakan baik Ali yang dibintangi Allahyarham Azmil Mustapha dan Fauziah Ahmad Daud dalam filem yang ditayangkan pada 16 Februari 1985 itu.

Menurut Shahrom, dia menceburi bidang konsultan arkitek bebas sebelum kehilangan pendapatan akibat Covid-19.

"Walaupun sudah lebih 30 tahun meninggalkan industri ini, jiwa lakonan dalam diri saya tidak pernah terpadam, namun kekangan tugas sebelum ini menyebabkan saya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap minat lakonan saya itu.

"Namun, sejak Covid-19 banyak projek tak masuk dan tergendala menyebabkan saya terfikir mahu mencuba nasib dalam bidang ini semula bagi menjana pendapatan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berkebolehan melakonkan pelbagai watak termasuk lawak jenaka secara spontan selain mahir loghat utara.

"Dulu saya melakonkan watak Rashid dalam filem Ali Setan dengan dialog popular 'hang kata hang terer, p la, terer apa ni'.

"Ketika itu, saya hanya membawa watak pelakon pembantu sebagai kawan baik Ali kerana masih belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya yakin, berdasarkan kebolehan dan pengalaman berlakon suatu ketika dulu, saya mampu melakonkan apa saja watak diberikan pada masa ini," katanya.

Shahrom yang menetap di Ipoh, Perak berharap ada pihak sudi menawarkan lakonan kepadanya yang kehilangan punca pendapatan.

"Sejak Covid-19 saya tiada pendapatan tetap kadang-kadang saya bantu kontraktor buat pengiraan untuk tender dengan upah yang tidak seberapa.

"Kalau ada peluang, memang saya ingin mencuba nasib cari rezeki dalam bidang lakonan semula memandangkan wang simpanan pun hampir kehabisan," katanya.

Shahrom (tengah) dalam filem Ali Setan di samping Allahyarham Azmil Mustapha